Jumaat, 6 Julai 2012

Orang tua, wanita hamil, ibu menyusu diberi kemudahan berbuka



Islam itu tidak memberatkan. Terdapat kemudahan untuk sesetengah golongan yang kurang
keupayaan dalam hal-hal ibadah termasuklah dalam ibadah puasa. Ikuti soaljawab yang dipetik
daripada fatwa Dr Yusof Qardhawi seorang ulama' terkenal masakini.

SOALAN

Bolehkah orang tua yang uzur berbuka puasa pada bulan Ramadan dan apakah yang patut
dilakukannya?.
Bagaimana pula dengan wanita hamil yang membuka puasanya kerana dikhuatiri anak dalam
kandungannya meninggal dunia? Jika dia berbuka apakah yang patut dilakukannya? Bolehkah
kita menggunakan wangian pada bulan Ramadan?


JAWAPAN

Untuk soalan pertama, hukumnya harus berbuka bagi orang tua yang ada kesusahan dan
kepayahan untuk berpuasa. Samalah juga hukumnya bagi orang tua dan orang sakit yang tiada
harapan sembuh.

Harus berbuka bagi orang yang lama sakitnya dan tiada harapan untuk sembuh serta telah
disahkan oleh doktor. Mereka boleh membayar fidyah iaitu memberi makan seorang miskin
sehari mengikut hari yang ditinggalkannya. Ini merupakan kesenangan dan kemudahan
daripada Allah.

Firman Allah: Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan Dia tidak menghendaki kesukaran
bagimu. (al-Baqarah: 185)

Firman-Nya lagi: Dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu
kesempitan. (al-Haj: 78)
I

bnu Abbas r.a. berkata: "Diberi kemudahan berbuka bagi orang yang tua, tetapi hendaklah dia
memberi makan kepada fakir miskin tiap-tiap hari yang dia tinggalkan dan tidak perlu
mengqada puasanya." (Diriwayatkan oleh Ad-Daruqami, dan Hakim telah mengesahkannya)
Bukhari juga meriwayatkan hadis yang hampir sama. Firman Allah: Dan wajib bagi orang yang
tidak mampu mengerjakannya (tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu) memberi makan
seorang miskin. Barang siapa yang dengan rela hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang
lebih baik baginya. (al-Baqarah: 184)




Maksudnya, sesiapa yang ingin menambahkan amalannya dengan memberi orang miskin
makan menurut kadar yang telah ditetapkan, itulah yang lebih baik dan sedekahnya itu kekal di
sisi Allah.

Kesimpulannya, orang tua sama ada lelaki atau perempuan dan pesakit yang tiada harapan
sembuh dikenakan fidyah dan wajib bersedekah untuk menggantikan puasa yang
ditinggalkannya.


Bagi soalan kedua, iaitu bolehkah wanita yang hamil membuka puasanya kerana
dikhuatiri anak di dalam kandungannya itu meninggal dunia, jawapannya: Ya, dia boleh
berbuka.



Malahan, jika ia dikuatkan lagi dengan pengesahan daripada doktor muslim yang dipercayai
dari segi ilmu perubatan dan agamanya, dia diwajibkan berbuka.

Firman Allah: Jangan kamu bunuh anak-anak kamu. (al-Anaam: 151)

Firman Allah lagi: Dan wajib bagi orang yang berat untuk menjalankannya (tidak berpuasa)
membayar fidyah, (iaitu) memberi makan seorang miskin... (al-Baqarah: 184)

Kebanyakan ulama mengharuskan berbuka puasa bagi wanita hamil dan wanita yang
menyusukan anaknya yang bimbangkan kesihatan diri mereka jika berpuasa, tetapi
diwajibkan menggantikannya. Keadaan mereka sama dengan keadaan orang yang sakit.
Mengenai masalah bimbang memudaratkan bayi dalam kandungan, telah disepakati
bahawa bakal ibu itu harus berbuka puasa, cuma yang menjadi perselisihan adalah
adakah wajib diganti atau dibayar fidyah atau kedua-duanya sekali. Ibnu Umar dan Ibnu
Abbas mengharuskan bagi wanita itu membayar fidyah.

Kebanyakan ulama berpendapat dia wajib mengqada puasanya. Setengahnya pula
berpendapat wajib ke atas wanita itu melakukan kedua-duanya sekali.
Pada pandangan saya, harus bagi wanita itu membayar fidyah sahaja. Melihat kepada
wanita yang menanggung beban kandungan dan menyusukan bayi, tidak ada masa
baginya menggantikan puasanya. Setahun mengandung, setahun menyusukan anak
selepas melahirkannya.
Oleh itu, tidak ada masa hendak menggantikan puasanya. Jika diwajibkan juga
menggantikan puasa, ini bermakna dia terpaksa berpuasa beberapa tahun
bersambung-sambung. Ini menyusahkannya, sedangkan Allah tidak menyusahkan
hamba-Nya.


Untuk soalan ketiga pula, iaitu tentang penggunaan wangian pada bulan Ramadan, hukumnya
harus. Ia tidak merosakkan puasa. Tidak ada keterangan atau pendapat sesiapa tentang hal ini.

Sumber: Dr. Yusuf al-Qardawi, Fatwa Masa kini (Terjemahan 1 & 2), Pustaka









Tiada ulasan: